KOTA KINABALU, SABAH – Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sabah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggesa siasatan dibuat ke atas wang berjumlah RM9.5 juta yang didakwa dibayar kepada pendakwaraya awam dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Sekretariat Pemuda, Pakatan Harapan Sabah, Mohammed Razeef Rakimin, yang diiringi oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Sabah, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar di pejabat SPRM di sini, Selasa.
Laporan mereka menyusuli satu artikel oleh Sarawak Report bertarikh 31 Mei, yang mendakwa bayaran telah dibuat kepada pegawai itu ketika rayuan terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu dalam kes liwat pada 2014.
“Kami menggesa siasatan segera berhubung dakwaan bayaran RM9.5 juta melalui sebuah akaun bank persendirian,” kata Razeef.
Sementara itu, Khairuddin berkata perkara ini turut menimbulkan keraguan mengenai sebab sebenar bayaran itu dibuat.
“Keraguan semakin kuat khususnya apabila artikel oleh Sarawak Report telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Mereka berkata laporan-laporan polis juga dibuat diseluruh negara berhubung perkara itu.
– HarianEkspres