Pencarian Asal Usul COVID-19 Dicemari Politik – WHO

Pencarian Asal Usul COVID-19 Dicemari Politik – WHO

0
SHARE
Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan...

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa usaha merungkai asal usul pandemik COVID-19 dicemari politik dan menegaskan saintis memerlukan ruang untuk berusaha menyelesaikan misteri itu.

“Kami meminta supaya dipisahkan antara sains dan politik dalam usaha ini, dan biarkan kami terus mencari jawapan dalam suasana yang positif ,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan kepada wartawan.

“Seluruh proses ini dicemari oleh politik,” katanya.

Badan kesihatan PBB menghadapi tekanan semakin meningkat dalam penyelidikan baharunya yang lebih mendalam untuk menentukan asal wabak tetapi setakat ini belum ada garis masa bagi tahap berikutnya.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang dipetik AFP berkata minggu ini beliau telah mengarahkan perisikan AS untuk menyiasat sama ada virus COVID-19 pertama kali muncul di China daripada sumber haiwan atau berpunca daripada kemalangan di makmal.

Joe Biden…

Tindakan itu dilihat sebagai isyarat bahawa AS tidak sabar menunggu siasatan WHO yang konklusif mengenai bagaimana pandemik yang membunuh lebih 3.5 juta orang di seluruh dunia itu bermula.

Bagaimanapun badan kesihatan PBB semalam berkata, pihaknya masih menunggu cadangan daripada pasukan pakar teknikal WHO mengenai bagaimana untuk meneruskan tahap selanjutnya.

“Pasukan teknikal akan menyiapkan cadangan bagi kajian selanjutnya yang perlu dilakukan dan akan mengemukakannya kepada ketua pengarah,” kata jurucakap Fadela Chaib kepada wartawan.

“Kemudian mereka akan bekerjasama dengan negara anggota mengenai langkah-langkah berikutnya,” katanya, sambil mengakui bahawa tidak ada garis waktu dalam proses itu.

WHO berjaya menghantar pasukan pakar antarabangsa bebas ke Wuhan pada Januari lalu, lebih setahun selepas wabak pertama kali muncul pada akhir 2019, untuk mencari punca asal usul wabak berkenaan.

Bagaimanapun dalam laporan mereka pada akhir Mac, pasukan antarabangsa dan rakan sejawat dari China tidak membuat rumusan yang konklusif, sebaliknya sejumlah hipotesis dibuat berdasarkan kemungkinan yang dipercayai.