KOTA KINABALU, SABAH – Penerbangan terus yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu bakal merancakkan lagi pelancongan domestik sekaligus mengerat hubungan diantara kedua dua negeri tersebut.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin berharap kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, itu dapat diteruskan dalam memulihkan industri pelancongan khususnya di negeri Sabah.
Tambah Jafry, destinasi pelepasan baru itu akan menjadikan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong bukan sahaja daripada Semenanjung Malaysia tetapi juga pelancong antarabangsa kelak.
“Saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk datang meneroka Sabah dan menikmati tawaran pelancongan serta kebudayaannya…
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak AirAsia kerana memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai salah satu laluan baharunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, penerbangan sulung AK5310 berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu dua jam setengah kemudian.
Penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap Ahad dengan tambang promosi sehala tersedia untuk tempahan daripada serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari 2022 untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.