KUALA LUMPUR – Piala AFF 2020 milik Thailand selepas berjaya menewaskan Indonesia dengan agregat 6-2 di pentas final malam tadi.
Walaupun terikat 2-2 pada aksi FINAL KEDUA di Stadium Nasional, Singapura malam tadi, Thailand terdahulu telah berada di zon selesa selepas mencipta kemenangan 4-0 pada FINAL PERTAMA, Rabu lalu.
Pada aksi final malam tadi, Indonesia yang mendapat gol pertama seawal minit kelapan melalui rembatan Ricky Kambuaya gagal ditangkap kemas penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen telah membuatkan Skuad Gajah Perang menjadi cemas
Skuad Gajah Perang yang berada pada situasi cemas malam tadi berusaha keras sehingga Adisak Kraisorn menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-54.
Hanya dua minit kemudian, gawang Indonesia bocor lagi dan kali ini hasil rembatan deras Sarach Yooyen yang tertampan pertahanan Garuda sebelum menerjah jaring.
Meskipun ketinggalan jauh dari segi agregat, Indonesia bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Egy Maulana Vikri pada minit ke-80 dengan kedudukan 2-2 itu kekal hingga tamat permainan.
Ia adalah kejuaraan keenam yang diraih skuad Gajah Perang di pentas Piala AFF selepas muncul juara pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.
