PM Saran Empat Bidang Kerjasama Perkasa Komuniti ASEAN

PM Saran Empat Bidang Kerjasama Perkasa Komuniti ASEAN

0
SHARE
Anwar
Anwar ketika lawatan kerjanya di Jepun ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook rasmi Perdana Menteri )

TOKYO, JEPUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan empat bidang kerjasama bagi memperluas dan memperdalamkan kolaborasi dalam ASEAN untuk memperkasakan rakyatnya supaya berdaya tahan dan lebih mampu menangani cabaran masa depan.

Memetik sumber Bernama, beliau menjelaskan kepada pemimpin ASEAN dan Jepun selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di sini, empat bidang itu ialah kesihatan awam, pengawalan iklim, pengurusan bencana dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Katanya, belajar daripada pandemik COVID-19, ASEAN dan Jepun mesti terus berwaspada terhadap krisis kesihatan masa hadapan.

Dalam hal ini, ketika rantau ini bergerak ke arah mengoperasikan Pusat ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Memuncul, Perdana Menteri berkata, Malaysia mencadangkan agar negara anggota ASEAN dan Jepun menempatkan penyelidik di pusat itu.

“Kita harus mengumpulkan penyelidik daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan pengetahuan bagi membentuk satu pasukan yang boleh membantu menangani cabaran kesihatan masa hadapan dengan lebih baik,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya semasa Agenda 3 sidang kemuncak berkenaan, bertemakan Heart to Heart Partners Across Generations.

Mengenai pengawalan iklim, Perdana Menteri berkata, ASEAN dan Jepun harus terus bekerjasama rapat untuk memajukan strategi mitigasi dan penyesuaian serantau dan nasional.

“Melambatkan perkara ini akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang tidak dapat dipulihkan semula, satu realiti yang telah pun dialami oleh sesetengah pihak,” katanya.

ASEAN dan Jepun, kata Anwar, harus mengambil kira keputusan penting COP28, terutamanya mengenai pengiraan stok global, matlamat global untuk adaptasi dan dana kerugian dan kerosakan.

“Saya mengalu-alukan komitmen awal Perdana Menteri Kishida sebanyak AS$10 juta untuk perkara itu dan saya menggalakkan Jepun untuk melakukan lebih lagi dalam membantu negara membangun dengan peralihan tenaga secara adil, teratur dan saksama,” katanya.

Anwar berkata, rantau itu telah menyaksikan peningkatan dalam kejadian cuaca ekstrem, daripada kemarau hingga banjir dan tanah runtuh, yang memerlukan tindakan daripada bidang ketiganya iaitu – pengurusan bencana.

Jelasnya, inilah sebabnya Malaysia menghargai sumbangan Jepun untuk mengoperasikan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (Pusat AHA).

Perdana Menteri mencadangkan kerjasama yang lebih mendalam dengan Jepun dalam usaha berterusan untuk menubuhkan Pusat Bantuan Bencana Kekal, memanfaatkan pengalaman dan kepakaran luas negara itu dalam pengurangan risiko bencana.

Dalam menyatukan rakyat di rantau ini, Malaysia menghargai inisiatif Jepun seperti JENESYS1, yang membantu merapatkan jurang budaya dan memupuk rasa identiti bersama.

“Adalah sesuatu yang penting untuk program JENESYS kembali kepada format asal bersemukanya, untuk interaksi bermakna dalam kalangan pelajar dan belia kita,” katanya.

Di pihak Malaysia, Anwar berkata, ia akan menggalakkan pelajar dari semua negara anggota ASEAN ke kampus cawangan Universiti Tsukuba Jepun di Malaysia, untuk melanjutkan pelajaran peringkat tinggi mereka.

Katanya, Malaysia juga mengalu-alukan inisiatif baharu Jepun, ‘Perkongsian untuk Mencipta Masa Hadapan Bersama dengan Generasi Akan Datang’.

Berikutan cadangan itu, pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan menerima pakai kenyataan visi dan pelan pelaksanaan yang memberi tumpuan kepada kerjasama masa depan di bawah tema penciptaan bersama pada akhir sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak peringatan itu dipengerusikan bersama Kishida, selaku tuan rumah dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.