
JEDDAH, ARAB SAUDI – Lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi selama tiga hari, bermula hari ini, akan memberi peluang untuk kedua-dua negara membincangkan isu dan kerjasama sedia ada.
Memetik sumber Bernama, menerusi lawatan terbabit, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Arab Saudi juga berpeluang meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.
“Semoga lawatan ini akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, insya-Allah,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau, hari ini.
Sementara itu, dilaporkan Anwar selamat tiba di Jeddah bagi memulakan lawatan rasmi sulung ke negara Asia Barat itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Pesawat khas membawa beliau mendarat di Royal Pavilion, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada jam 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia).
Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Ketibaan Anwar disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud, dengan upacara sambutan rasmi membabitkan kawad statik.
Ia juga adalah lawatan rasmi negara luar ASEAN yang pertama oleh Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.
Anwar bersama delegasi dijadual mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha, serta Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa, hari ini.
Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam.