Polemik Pertukaran Pengarah Kesihatan Negeri Sabah sudah Dijelaskan Berkali-Kali – Masidi

Polemik Pertukaran Pengarah Kesihatan Negeri Sabah sudah Dijelaskan Berkali-Kali – Masidi

0
SHARE
Datuk Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Polemik pertukaran jawatan Datuk Dr Christina Rundi perlu dihentikan agar kita menumpukan semua usaha kita mengurus & melawan ancaman penularan virus COVID-19 yang semakin merunsing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata yang terdahulu antara beberapa pegawai berpotensi memegang jawatan yang lebih tinggi di Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Beliau ditukar ke Ibu Pejabat sebagai persediaan untuk mengisi salah satu jawatan penting akhir tahun ini apabila penyandangnya bersara…

“Pertukarannya tidak ada kena mengena dgn isu kebenaran ‘dine-in’ yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Negeri yang dipengerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Dr. Christina Rundi….

Malah, kata Masidi lagi, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri sendiri telah merayu agar Dr Christina dikekalkan di Sabah dalam keadaan kita sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19 yang serius.

“Saya sendiri telah menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan Negara Tan Sri Dr Noor Hisham, merayu agar Dr Christina dikekalkan atau sekurang kurangnya bertukar hanya pada hujung tahun…

“Tan Sri Noor Hisham memaklumkan keputusan ini adalah diperingkat Ketua Setiausaha Negara yang melibatkan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi lain Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat secara rasmi memaklumkan Kerajaan Negeri bahawa rayuan Kerajaan Negeri tidak dapat dipertimbangkan atas sebab-sebab keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai-pegai tinggi di Kementerian yang terlibat,” jelas beliau.

Pengganti Dr Christina ialah Dr Rose Nani Mudin yang berasal dari Papar, bapa Kadayan ibu Kadazan, dan seorang anak jati Sabah.

Dr Rose Nani Mudin…

“Beliau juga mempunyai latar belakang kepakaran yg sama dengan Dr Christina,” kata Masidi lagi.

“Kita sayang dan mengiktiraf dedikasi kerjaya Dr Christina, kerana itu Kerajaan Negeri merayu agar beliau dikekalkan…

“Tetapi kita menerima hakikat beliau juga seorang pegawai perkhidmatan awam yang tertakluk kepada pertukaran bila-bila masa untuk bertugas di tempat lain.

“Semasa mula-mula dilantik dalam perkhidmatan awam, semua pegawai kerajaan akur dengan syarat ini,” katanya.

Masidi berharap orang ramai memberi peluang kepada Pengarah Kesihatan Sabah baharu, Dr Rose Nani.

“Untuk membuktikan kewibawaan dan kemampuannya mengurus ancaman COVID-19ini, sama dengan peluang yang kita telah berikan kepada Dr Christina,” beliau berkata.