KUANTAN, PAHANG – Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang mangsa di sebuah restoran sini Selasa lalu masih giat diburu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa lelaki berusia 24 tahun ditarik suspek ketika bersama teman di restoran itu pada jam 5.30 petang.
“Ketika berada di restoran itu, mangsa dan teman wanitanya yang berusia 22 tahun didatangi tiga lelaki tidak dikenali memakai penutup muka dan bertopi.
“Suspek menaiki kereta Perodua Bezza bernombor pendaftaran VBW 8268 iaitu palsu.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan terus menarik mangsa masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan berkenaan,” katanya.
Yahaya berkata, kepala mangsa ditutup dan dibawa ke sebuah premis yang tidak diketahui.
Pada jam 1.30 pagi Jumaat, mangsa ditinggalkan di kawasan perkuburan Cina di kawasan Bukit Ubi, di sini dalam keadaan kepala masih bertutup.
“Mangsa kemudiannya berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan rakannya.
“Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM18,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata siasatan daripada segenap aspek sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Video 42 saat kejadian telah tular hari ini yang menunjukkan mangsa ditarik masuk ke ruang duduk belakang kenderaan suspek dalam keadaan digari.