PENAMPANG, SABAH – Polis memohon mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil membantu pengesanan waris seorang lelaki berbangsa Cina, berumur 61 tahun yang didapati rebah dan tidak sedarkan diri di sebuah kedai makan di Pekan Donggongon pada jam 1.30 petang kelmarin.
Hasil siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan seorang gelandangan dan alamat yang tertera di kad pengenalan adalah Kampung Lubang Batu Mandahan, Papar.
Ketua polis daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata punca kematian masih belum diketahui dan mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Saksi kejadian telah bertindak menghubungi talian MERS 999 dan Pegawai Perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian…
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan mangsa boleh berhubung dengan Pengawai Penyiasat, SM Patrick Duffy Francis Dicka di talian 013-8385335,” katanya dalam sebuah kenyataan.