LONDON – Harga sekeping tiket untuk perlawanan akhir antara England menentang Itali dijual bermula dengan harga £3,400 (RM19,587) paling murah sehingga £50,000 (RM288,000) bagi dua keping tiket untuk Kategori 1.
Tiket berkenaan dijual secara dalam talian (online) yang diiklankan di laman web Ticombo.
Walaupun dijual dengan harga yang tinggi, penyokong England dilihat begitu terdesak untuk berlumba-lumba membeli tiket itu bagi menyaksikan pasukan Three Lions yang buat pertama kalinya beraksi di kejohanan utama sejak kali terakhir di Piala Dunia 1966.
Terdapat juga pihak yang mencari keuntungan dengan bertindak menjual semula secara dalam talian di platform laman web lain.
Oleh itu, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) melarang penjualan semula tiket melebihi harga sebenar dengan badan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Namun, permintaan tinggi untuk menyaksikan perlawanan akhir itu di Stadium Wembley hanya membenarkan 60,000 penyokong masuk daripada jumlah kapasiti sebenar 90,000 tempat duduk susulan penularan wabak COVID-19.
Justeru, penyokong yang terdesak untuk memberi sokongan kepada anak buah Gareth Southgate di Wembley, kini menjadikan pasaran gelap untuk mendapatkan tiket.