KOTA KINABALU, SABAH – Polis Sabah menafikan notis palsu kebenaran merentas daerah dan kapasiti kenderaan yang baru-baru ini tular pada aplikasi media sosial khususnya WhatsApp.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata siasatan mendapati notis yang ditular berkenaan adalah notis lama yang dikeluarkan pada 6 Mei 2020 dan disebarkan semula oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
“Pada ketika ini, Negeri Sabah masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa (PPN) 2 yang tidak membenarkan sebarang pergerakan merentas daerah…
“Arahan ini kecuali bagi tujuan kecemasan, pekerjaan (dengan surat majikan), temujanji vaksinasi COVID-19, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin melawat anak di bawah umur 18 tahun,” jelasnya.
Idris berkata, manakala, pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan keluar di dalam daerah yang sama berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan apa jua berita yang tidak sahih atau palsu…
“Jika disabit kesalahan, akan didakwa di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan dedan maksimum RM 50 ribu dan penjara setahun,” tegasnya.