LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) berjaya menahan tiga individu dan merampas dadah jenis syabu seberat 59.29 gram dalam operasi Op Tapis yang dijalankan semalam.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM6,521.90.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, memaklumkan, dalam kes pertama, seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun ditahan di kawasan Reno Fajar, Lahad Datu.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemui sebuah beg kecil berwarna biru berisi 5.14 gram dadah syabu. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Kes kedua pula melibatkan seorang wanita warga Filipina berusia 36 tahun yang ditahan di sebuah rumah di kawasan Perumahan Ladang Ngai, Jalan Simpang Gogos.
Pemeriksaan lanjut menemukan 54.15 gram syabu bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran.
Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam kes ketiga, seorang lelaki warga Filipina berumur 42 tahun ditahan selepas disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan dan ujian awal mendapati suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Semua suspek kini ditahan dan permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut.
“Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah Lahad Datu,” katanya.
 
             
	





