PPM, PDRM, Tembak Mati Tiga Ekor Buaya di Lahad Datu

PPM, PDRM, Tembak Mati Tiga Ekor Buaya di Lahad Datu

0
SHARE
Foto Ihsan: PPM W4 Sabah

LAHAD DATU: Sebanyak tiga ekor buaya berjaya ditembak mati dalam satu operasi bersepadu membanteras buaya di daerah Lahad Datu, kelmarin.

Menerusi kenyataan media Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, operasi itu melibatkan kerjasama antara Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam agensi keselamatan yang lain seperti Majlis Daerah Lahad Datu, APNM Lahad Datu dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah itu.

“Kesemua tiga ekor buaya termasuk seekor yang bersaiz sekitar 11 kaki tersebut ditembak mati di sekitar kawasan perairan Daerah Lahad Datu, meliputi sekitar jeti PPm Lahad Datu sehingga sungai Tabanak,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Komander PPM W4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi bertujuan meredakan kebimbangan penduduk daripada ancaman reptilia berkenaan dan pada masa sama mengawal populasinya. 

“Semua buaya yang dinaikkan ke darat diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang dan dilakukan di sekitar jeti PPM Lahad Datu, kawasan laut Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Sungai Sabah Baru, Kampung Puyut, Sungai Sapagaya dan Tabanak.