PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan hari ini telah menetapkan 5 DISEMBER 2020 ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi (P.185) Sabah, demikian menurut
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan 23 NOVEMBER 2020 pula ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 DISEMBER 2020 sebagai tarikh mengundi awal.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 HARI bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember.
“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 13 Oktober dan 19 November 2020,” jelas beliau.
Terdahulu, kerusi Parlimen Batu Sapi kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu.
Vui Keong, 60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.
Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap WARISAN itu berasal dari Kota Belud dan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN).
Untuk rekod, kawasan Batu Sapi yang terletak dalam daerah Sandakan kini telah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 9 Oktober lalu selepas dikategorikan sebagai zon merah dengan mencatat 316 kes COVID-19 setakat semalam.