KOTA KINABALU: Projek menaik taraf sistem bekalan air termasuk pembinaan tangki simpanan air di Sandakan kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 94 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027, sekali gus menjadi antara langkah utama kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air terawat yang lebih stabil, konsisten dan mampan kepada penduduk di daerah itu.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury berkata, Jabatan Air Sabah (JA Sabah) memandang serius isu gangguan bekalan air di Karamunting, Gum-Gum, Sekong serta seluruh daerah Sandakan dan telah melaksanakan pelbagai langkah segera serta perancangan jangka panjang bagi menambah baik sistem bekalan air.
“Projek menaik taraf sistem bekalan air yang sedang dilaksanakan merangkumi pembinaan tiga tangki simpanan baharu masing-masing berkapasiti lima juta liter di Batu 16 Gum-Gum serta dua tangki berkapasiti 10 juta liter di Batu 7 Jalan Airport dan Batu 4 Tshun Ngen.
“Sebuah tangki imbangan berkapasiti 10 juta liter turut dibina di Batu 12 Sungai Manila bagi mengurangkan kebergantungan kepada sistem pengepaman terus yang memberi tekanan tinggi kepada rangkaian paip sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Tshun Khee [Karamunting]; Arunarnsin Taib [Gum-Gum]; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal [Senallang]; Alias Sani [Sekong]; dan Thien Ching Qiang [Tanjong Papat] pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Kata ADUN Kuala Penyu itu, apabila siap kelak, projek itu akan meningkatkan kecekapan sistem agihan bekalan dengan membolehkan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud disimpan dan diagihkan secara lebih sistematik, selain mengurangkan tekanan operasi ke atas paip, sekali gus mengurangkan kebocoran serta kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Sandakan.
Dalam usaha meningkatkan kapasiti sumber air mentah, beliau berkata kajian berkaitan telaga tiub di LRA Hilltop dan LRA Sibuga yang siap pada Jun lalu, mengenal pasti keperluan memulihkan 10 telaga tiub sedia ada serta menaik taraf beberapa telaga lain bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran loji sebanyak dua hingga empat juta liter sehari.
Projek pemulihan telaga tiub itu dijangka bermula tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau turut memaklumkan bahawa JA Sabah sedang memohon peruntukan bagi melaksanakan projek penambahan kapasiti LRA Segaliud melalui pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 125 juta liter sehari berserta muka sauk baharu.
“Projek berkenaan kini berada pada peringkat penyediaan kajian reka bentuk sebelum pelaksanaan fizikal dipohon di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMK13 menerusi Program Pinjaman Mudah Persekutuan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.
Manakala, antara langkah jangka pendek yang sedang dilaksanakan ialah, penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas, pengaturan semula sistem agihan melalui kawalan injap bagi mengoptimumkan tekanan air, pembinaan tangki statik di lokasi yang kerap mengalami gangguan serta kerja pembaikan paip bocor secara segera menerusi kontraktor penyelenggaraan daerah.






