Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi Disasarkan Siap Dalam Tempoh Tiga Tahun

Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi Disasarkan Siap Dalam Tempoh Tiga Tahun

0
SHARE
Armizan
Armizan sedang meninjau lokasi jalan Lok Kawi ( Sumber Foto: Ihsan KPDN )

PAPAR, SABAH – Isu kesesakan jalan raya yang dihadapi penduduk daerah Papar disasarkan akan berakhir dalam tempoh tiga tahun apabila projek naik taraf jalan Lok Kawi selesai kelak.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek terbabit melibatkan jalan dari bulatan Sabindo sehingga bulatan SMK Kinarut sepanjang 1.3 kilometer (KM).

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam lawatan kerja oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pada Mei lepas, beliau telah membangkitkan dua projek jalan raya mendesak di daerah ini bagi mengatasi isu kesesakan jalan raya sejak sekian lama.

Katanya, dua projek terbabit termasuk projek membina ‘bypass’ jalan Papar.

“Alhamdulilah, dalam ucapan Perdana Menteri (ketika berucap dalam Program Semarak Perpaduan Parlimen Papar), mengumumkan telah meluluskan dua projek bagi kawasan Papar.

“Pertama adalah projek untuk menyelesaikan kesesakan di jalan Lok Kawi dan projek kedua pula adalah bagi menangani isu kesesakan di jambatan Papar dengan membina laluan alternatif kepada jalan raya sedia ada.

“Susulan daripada kelulusan dan pengumuman Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya dan juga Kementerian Kerja Raya Negeri telah membuat beberapa tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media yang diadakan, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi projek naik taraf jalan Lok Kawi, antara tindakan susulan yang diambil pihaknya bagi melaksanakan projek itu adalah pelaksanaan Makmal Kajian Nilai (VA), kelulusan skop projek baharu oleh Kementerian Ekonomi, mesyuarat jawatankuasa penilaian perunding, pelawaan tender perkhidmatan perunding, pelantikan perunding dan penyediaan reka bentuk bermula Oktober lepas.

Katanya, Kementerian Kerja Raya memberikan komitmen bahawa pengiklanan tender akan dibuat selewatnya pada bulan Januari tahun hadapan.

Disamping itu, beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata pihaknya turut berharap kontraktor yang dipilih selepas penilaian akan memulakan kerja pembinaan jalan raya selewat-lewatnya pada Mei tahun hadapan.

“Projek ini sasarannya (untuk disiapkan) adalah dalam tempoh tiga tahun. Untuk pengetahuan semua, berdasarkan tinjauan yang dibuat Kementerian Kerja Raya, bancian tahun 2021 mencatatkan pengguna jalan raya dari Papar sehingga Kota Kinabalu termasuk jalan ini, penggunaannya adalah sebanyak 27,000 kenderaan sehari.

“Ia telah melebihi tahap standard keperluan untuk membuat naik taraf standard dalam 25,000 kenderaan.

“Saya fikir kalau sekarang tahun 2024 ini, ia sudah boleh mencecah kepada 30,000 buah kenderaan. Jadi dari segi dapatan kajian itu, memang keperluan amat mendesak supaya jalan dinaik taraf,” katanya.

Armizan dalam pada itu turut memaklumkan kos bagi projek naik taraf jalan Lok Kawi melibatkan anggaran kos sebanyak RM67 juta termasuk kos pembinaan jejantas dan utiliti disamping memberitahu jalan terbabit bakal diwartakan sebagai jalan Persekutuan kelak.