Rasuah Cukai Minyak Sawit: Seorang Lagi Individu Bergelar Dato’ Ditahan SPRM

Rasuah Cukai Minyak Sawit: Seorang Lagi Individu Bergelar Dato’ Ditahan SPRM

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lagi individu yang bergelar Dato’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan tindakan melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Tangkapan terbaru ini ialah susulan tangkapan terhadap seorang pegawai kanan dan pesara kerajaan pada 18 Mei lalu. 

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 66 tahun yang merupakan bekas penjawat awam itu telah ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok…

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pengusaha kilang kelapa sawit di seluruh Sabah supaya tampil untuk membantu siasatan kerana mengemukakan pengisytiharan palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan telah ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada MOF.

Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari terhadap kedua-dua individu berkenaan bermula 19 Mei 2022 hingga 25 Mei 2022.