KOTA KINABALU, SABAH – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program vaksinasi secara ‘walk-in’ (tanpa temu janji) kepada semua remaja berumur 12-17 tahun bermula hari ini 16 September 2021 (Khamis).
Ini sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan seramai mungkin remaja agar diberikan vaksin sebelum pembukaan semula sekolah menjelang Oktober ini.
UMS dalam satu kenyataan memaklumkan hebahan itu melalui media sosial Facebook dan juga sebaran aplikasi WhatsApp.
UMS yang memulakan operasi program tersebut pada hari ini (16 Sept) akan dibuka setiap hari Isnin sehingga Jumaat dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.
Dalam pada itu, remaja yang datang untuk menerima vaksin ke PPV-IPT UMS bermula hari ini hendaklah ditemani oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing dan bukan merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19.
Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam satu kenyataan membenarkan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun divaksin bermula hari ini (16 Sept).

“Ini juga sejajar dengan pendirian Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan seramai remaja dalam kumpulan berisiko tinggi yang mungkin agar diberikan vaksin sebelum pembukaan semula sekolah pada 3 Oktober,” katanya.