Remaja Perempuan 16 Tahun Ditemui Lemas Di Sungai Kadamaian

Remaja Perempuan 16 Tahun Ditemui Lemas Di Sungai Kadamaian

0
SHARE

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kadamaian berakhir apabila mayat mangsa ditemui kira-kira 3.5 kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bencana (PKOB) hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.58 petang pada Ahad (9 Februari) berhubung kejadian di Kilang Batu Tan Chin Nam, Kota Belud. 

Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 4:10 petang bersama pasukan penyelamat lain.

“Mangsa dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama keluarganya di sungai berkenaan.

“Operasi SAR yang memasuki hari kedua melibatkan 8 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud serta 5 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Marudu.

“Pasukan PPDA melakukan selaman di lokasi kejadian manakala pencarian di permukaan air menggunakan bot penyelamat. Pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), serta penduduk kampung turut membantu operasi pencarian di tepi sungai,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud PPgB Muhammad Syazwan Latun.

Pada jam 3.54 petang, mayat mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam bersama pasukan penyelamat.

Pihak polis mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke hospital menggunakan trak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR tamat sepenuhnya pada jam 5.00 petang setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.