RM474.55 JUTA UNTUK TINGKAT TAHAP PENDIDIKAN DI SABAH: KM HAJIJI

RM474.55 JUTA UNTUK TINGKAT TAHAP PENDIDIKAN DI SABAH: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TAWAU, SABAH – Kerajaan negeri memperuntukkan bajet yang besar iaitu sebanyak RM474.55 juta untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, peruntukan itu juga untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan seperti pemberian biasiswa dan dermasiswa, pembangunan serta operasi sekolah termasuklah perpustakaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan pendidikan serta isu pendidikan demi memastikan pendidikan anak bangsa terus diberikan perhatian kerana merekalah permata negara.

“Kerajaan negeri juga amat komited dan telah merangka pelbagai program dan memperkasakan inisiatif sedia ada demi memastikan setiap anak-anak mempunyai akses kepada pendidikan demi kecemerlangan pendidikan di negeri ini, termasuklah memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekan kepentingan modal insan.

“Inilah bukti betapa kerajaan sangat prihatin akan kebajikan rakyatnya dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (Mapens) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Ming, di sini, hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pendidik atas kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan lonjakan yang amat memberangsangkan.

Katanya, pencapaian calon peperiksaan SPM Tahun 2023 lebih baik berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) berbanding tahun lepas dengan nilai GPN 5.09 mata pada 2023 berbanding 5.22 mata pada tahun 2022, perbezaan 0.13 mata.

Hajiji berharap dengan kerja bersungguh sungguh dan penuh komitmen semua guru, dapat meneruskan legasi kecemerlangan pendidikan negeri Sabah.