SABAH LAKSANA ROMBAKAN KABINET, KUKUHKAN KERAJAAN NEGERI – KM HAJIJI

SABAH LAKSANA ROMBAKAN KABINET, KUKUHKAN KERAJAAN NEGERI – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah melaksanakan rombakan kabinet bagi mengukuhkan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bagi tujuan terbabit, beliau melihat keperluan untuk membentuk satu pasukan kuat dalam usaha mentadbir negeri ini.

“Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah
memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) ke dalam Kabinet, sebagai tambahan di samping wakil dari UMNO-BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati.

“Kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang
sehaluan, menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan
negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan
oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat terbabit.

“Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya.