Sabah Pandang Serius Kes Pelajar Ditemui Mati Di Asrama Kolej Vokasional 

Sabah Pandang Serius Kes Pelajar Ditemui Mati Di Asrama Kolej Vokasional 

0
SHARE
Fairuz
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Fairuz Renddan

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memandang serius kes seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu awal pagi Sabtu.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Fairuz Renddan berkata, perkara itu amat serius dan kerajaan negeri memandang berat kes keganasan melibatkan pelajar sekolah.

“Insiden ini berlaku dalam asrama kolej dan dilaporkan melibatkan ramai penghuni asrama. Kita meminta pihak polis dan Kementerian Pengajian Tinggi menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci agar tindakan yang sewajadnya dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Perkara seumpama ini dapat dielakkan sekiranya pelajar dan penghuni di asrama mempunyai disiplin dan semangat toleransi yang tinggi.

“Sebarang perselisihan faham yang berlaku dikalangan penghuni asrama hendaklah segera dilaporkan kepada warden asrama. Ini penting agar Insiden yang tidak diingini seperti yang berlaku di Lahad Datu tidak berulang di masa akan datang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama pada pukul 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad terdahulu menyatakan bahawa pihaknya telah menerima laporan dari pengarah kolej berkaitan.

“Bertindak atas laporan yang diterima, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah dihantar ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian berlaku di asrama lelaki kolej dan hasil pemeriksaan mendapati bahawa terdapat mayat seorang remaja lelaki terbaring di lantai dalam sebuah bilik asrama kolej,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tanda-tanda kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

Fairuz manakala berkata, pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan juga perlu memberi perhatian terhadap kes buli secara fizikal yang dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah menengah negeri ini.

“Pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan juga diminta memastikan tindakan disiplin diambil ke atas murid yang bersalah dan tidak berkompromi dengan salah laku buli dan keganasan yang melibatkan pelajar sekolah,” tegasnya.