KOTA KINABALU, SABAH – Kira-kira 65 penduduk Kampung Likas tinggal sehelai sepinggang selepas api meranap 10 buah rumah awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan menerima panggilan berhubung insiden pada jam 3.11 pagi.
Sepasukan 16 daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas berjarak kira-kira dua kilometer (KM) dari lokasi sampai dalam masa enam minit.
“Kebakaran melibatkan 10 buah rumah jenis separuh kekal dengan anggaran keluasan keseluruhan 300x200kaki terbakar 100 peratus melibatkan 17 keluarga dan 65 isi rumah.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Jelasnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 200 kaki tiga pancutan sumber air dari jentera tangki air BBP Penampang.
“Manakala BBP Kota Kinabalu menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki satu pancutan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya.
Seramai 27 anggota terlibat dalam operasi yang terkawal pada jam 4.16 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.49 pagi.