Sabah SuperApp Integrasikan Pelbagai Perkhidmatan

Sabah SuperApp Integrasikan Pelbagai Perkhidmatan

0
SHARE
Safar
Safar (tengah) semasa melawat salah satu pameran sambil ditemani oleh Zainudin (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah SuperApp merupakan inovasi yang direka khas sebagai penyelesaian bersepadu yang akan mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, ia menyatukan aspek kehidupan harian, memudahkan dan meningkatkan kaedah interaksi masyarakat dengan persekitaran meliputi masyarakat tempatan, pelancong dan golongan peniaga di Sabah.

“Salah satu aplikasi dalam Sabah SuperApp ini adalah SabahTAMU yang telah dibangunkan khas untuk golongan peniaga tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“SabahTAMU menggiatkan semula pasaran tempatan dengan membawanya ke era digital, memperkukuh ekonomi negeri dan memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

“Ini bukan sahaja mengekalkan kerancakan pasaran yang dihargai ini tetapi juga menyokong usahawan dan peniaga tempatan dengan menghubungkan mereka kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas,” katanya semasa merasmikan Program Digital Sabah Connect anjuran Bahagian Kerajaan Digital Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Turut hadir adalah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Norasiah Binti Muhammad Yusuf, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jamili Nais.

Turut sama memeriahkan majlis ini juga adalah pihak-pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli pejabat daerah, dan juga pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga yang mewakili Dewan Perniagaan Sabah.

Pada majlis tersebut, penyampaian sijil penghargaan juga telah diberikan kepada agensi-agensi teknikal yang telah menyumbang kepada pembangunan sistem ePP 2.1.

Pada program ini juga turut diadakan pameran-pameran dan sesi ceramah untuk memberi kesedaran tentang kebaikan sistem dan aplikasi ini kepada kerajaan dan orang awam. — JABATAN PENERANGAN SABAH