
PAPAR, SABAH – Parti Progresif Sabah (SAPP) N27 Limbahau CLC pada Jumaat baru-baru ini mengunjungi Klinik Kesihatan Papar dan menyampaikan sumbangan dalam bentuk 100 set peralatan pelindung diri (PPE), 24 kotak pelitup muka (facemask) dan 20 unit termometer suhu inframerah.
Kesmua sumbangan itu diterima oleh Pengarah Kesihatan Klinik Kesihatan Papar, Dr Alfred Aldrin.
Pasukan derma diketuai oleh Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul, yang mana mereka berkesempatan untuk bertukar pandangan dengan Dr Alfred Aldrin.
Mereka juga diberi taklimat oleh Dr Alfred mengenai program vaksinasi dan usaha petugas kesihatan dalam membendung situasi COVID-19 yang semakin meningkat dan kritis ketika ini.
Edward, yang juga ketua CLC SAPP Limbahau akan terus berusaha untuk membantu barisan hadapan (frontliners) dalam usaha mereka untuk memerangi wabak COVID-19 terutama di daerah Papar dan juga negeri Sabah juga.
“Peralatan sumbangan PPE ini adalah sebahagian dari sumbangan Kedutaan Besar China yang diterima oleh Ibu Pejabat SAPP pada 30 Ogos. Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu dan meringankan beban kakitangan barisan depan di Klinik Kesihatan Papar,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP dan mendaftar dalam program vaksinasi untuk menyahut dan membantu saranan Kerajaan Negeri agar Sabah mencapai immuniti kelompok (herd immunity) pada masa terdekat ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Nelson Marcellus, Ahli Majlis Tertinggi SAPP dan Ketua Pemuda Limbahau, Puan Josie Jilip, ketua Wanita SAPP Limbahau dan Setiausaha CLC George Yutop SAPP N27 Limbahau.