Sawit Kinabalu Bayar Dividen Interim Ketiga Lebih RM14 Juta Kepada Kerajaan Negeri

Sawit Kinabalu Bayar Dividen Interim Ketiga Lebih RM14 Juta Kepada Kerajaan Negeri

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan replika cek dividen interim ketiga berjumlah RM14,448,000 oleh Datuk Bacho (empat dari kanan) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyaksikan pembayaran dividen interim ketiga sebanyak RM14,448,000 daripada Kumpulan Sawit Kinabalu kepada Kerajaan Negeri.

Pembayaran dividen interim itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, yang mewakili kerajan negeri, pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu hari ini.

Sawit Kinabalu berjaya merekod keuntungan sebanyak RM333 juta sebelum cukai berbanding unjuran sebanyak RM131 juta iaitu yang tertinggi dalam sejarah sejak syarikat ini diperbadankan 25 tahun yang lalu.

Sementara itu, Bacho berkata melalui keuntungan yang diperolehi ini, Sawit Kinabalu akan membayar RM14,448,000.00 kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai dividen interim yang ke-3 selepas pembayaran dividen bagi suku pertama dan kedua tahun 2021 iaitu sebanyak RM10,000,000 pada bulan September yang lalu.

Jumlah dividen yang dibayar sebanyak 24.4 juta ringgit pada tahun ini adalah pertambahan kepada jumlah dividen sebanyak RM1.2 bilion yang telah dibayar kepada pihak Kerajaan Negeri sejak tahun 1996.

Turut berlangsung pada hari yang sama adalah acara Menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Hernan Corporation Sdn Bhd bagi projek kerjasama menjalankan penanaman buah durian.

Memorandum persefahaman itu juga telah ditandangani oleh Bacho dan Puan Anna Teo selaku Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn Bhd.

Memorandum persefahaman yang dimeterai ini bertujuan membangunkan projek tanaman durian; termasuk pemasaran dan pengeksportan buah durian asli dan produk nilai tambah berasaskan durian ke pasaran domestik dan antarabangsa seperti Australia, China, Japan, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi.

Melalui kerjasama strategik ini, Hernan Corporation Sdn Bhd akan membantu Kumpulan Sawit Kinabalu dalam perkongsian maklumat dan kepakaran, penyelidikan dan teknologi untuk memastikan projek ini dapat memberi dan membuahkan pulangan yang lumayan.