Sembilan Hari Hilang Di Hutan, Dua Termasuk Kanak-Kanak Ditemui Selamat

Sembilan Hari Hilang Di Hutan, Dua Termasuk Kanak-Kanak Ditemui Selamat

0
SHARE
Hilang
Kedua-dua mangsa dalam dakapan keluarga ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

TAWAU, SABAH – Dua lelaki yang hilang di kawasan hutan berhampiran Ladang Usahawan Borneo Burmas selama sembilan hari ditemui selamat hari ini.

Iwan Musakir, 33 dan Al Fajri Anto, 11, dijumpai dalam keadaan selamat oleh orang awam sekitar jam 9 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat sempat dimulakan.

Laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata mangsa mangsa dihantar ke Dewan Pusat Kawalan Operasi untuk berjumpa dengan keluarga mangsa.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa memastikan mangsa dalam keadaan baik dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam satu petang,” katanya.

Operasi melibatkan 48 anggota termasuk bantuan daripada agensi lain iaitu pihak Polis, Angkatan Pertahanan Malaysia, Pejabat Perhutanan dan SAPURA.

Mangsa dikhuatiri hilang di hutan ketika menjalankan aktiviti memburu sejak 24 Jun 2023.

Mangsa telah keluar memburu secara berkumpulan (8 orang) dan telah berpecah kepada beberapa kumpulan ketika di dalam hutan namun gagal menemui semula rakan-rakan yang lain.

Menurut Ketua BBP Tawau, Jemishin Ujin, mangsa telah masuk sejauh 7.5km ke dalam hutan.

“Mangsa dikatakan dapat melangsungkan hidup dengan meminum air sungai dan memakan jambu yang tumbuh tepi sungai.

“Mangsa mengatakan beliau terdengar suara pasukan penyelamat,” katanya dihubungi Sabah News.