KOTA KINABALU, SABAH – Semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya wajib mengambil melengkapkan dos vaksinasi COVID-19 mereka masing-masing sebelum 21 September ini.
Sebelum ini, arahan tersebut dikuatkuasakan selepas 15 Sept 2021 tetapi telah dilanjutkan kepada 21 September atas sebab dipengaruhi peratusan vaksinasi di Sabah setakat ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata anjakan atau lanjutan tarikh itu selaras dengan sasaran Sabah yang akan mencapai 60 peratus (60%) tahap vaksinasi COVID-19 pada tarikh tersebut.

“Orang ramai diingatkan sekali lagi bahawa semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya hendaklah telah lengkap divaksinasi apabila ia dikuatkuasakan pada 21 Sept ini…
“Ini pada mulanya (penguatkuasaan) diumumkan untuk mula dikuatkuasakan selepas 15 Sept 2021. Bagaimanapun, oleh kerana tahap vaksinasi seluruh negeri Sabah sehingga ke hari ini baru mencapai 52 peratus populasi dewasa, maka tarikh kuat kuasa ini dianjakkan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi
Masidi yang juga Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah berkata, terdapat kelewatan untuk pekerja di sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya dalam menerima dos kedua, khususnya jenis vaksin AstraZeneca.
“Oleh yang demikian, para majikan boleh memohon pengecualian sementara. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka yang terlibat, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes COVID-19 di Sabah, Masidi berkata jumlah kes wabak itu pada kelmarin (12 Sept) turun di bawah angka 2,000, iaitu 1,717 KES iaitu terdapat penurunan sebanyak 446 kes berbanding 2,163 kes sebelum ini.
