Seramai 4,229 Graduan UMS Terlibat Konvokesyen Tahun Ini

Seramai 4,229 Graduan UMS Terlibat Konvokesyen Tahun Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 4,229 orang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Diploma Pascasiswazah, Doktor Perubatan, Sarjana Muda dan Diploma mereka hari ini.

Canselor UMS, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin mengucapkan tahniah kepada kejayaan yang dikecapi dalam Majlis Perisytiharan Konvokesyen UMS Ke-23 Tahun 2021 yang diadakan secara maya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sumbangan dana sebanyak RM 1.5 juta bagi membiayai operasi Pusat Pemberian Vaksin UMS sepanjang tempoh vaksinasi berjalan.

“Dana tersebut menyerlahkan lagi kerjasama baik yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri Sabah dan UMS, dan membuktikan kepercayaan Kerajaan Negeri Sabah terhadap keupayaan UMS untuk memberikan sumbangan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Canselor UMS, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin semasa Majlis Perisytiharan Konvokesyen UMS Ke-23 Tahun 2021 yang diadakan secara maya…

Tun Juhar berkata ancaman COVID-19 terhadap negara belum berakhir dan masih menggangu khsusnya dalam kelancaran proses pelagai sektor termasuk bidang pendidikan.

“Dengan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dilakukan secara fizikal seperti amalan biasa, pelajar dan pensyarah sebaliknya bertemu di alam maya melalui internet sedangkan mereka berada jauh antara satu sama lain samada di dalam kediaman atau asrama masing-masing…

“Saya mengucapkan syabas kepada para pensyarah yang telah menunjukkan kreativiti, dedikasi dan inovasi dalam menyampaikan ilmu secara lebih berkesan di sebalik kekangan yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian.

“Saya juga mengucapkan syabas kepada para graduan kita kerana telah menamatkan pengajian dengan jayanya walaupun dalam persekitaran pembelajaran yang mencabar di kediaman atau asrama masing-masing,” tambahnya.

Menurut beliau, kerjasama antara UMS dan Kerajaan Negeri ibarat ‘aur dengan tebing’ dan hasil daripada itu, beberapa projek inovasi yang memberikan kesan langsung kepada usaha memperbaiki taraf hidup rakyat telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini.

Antaranya, ialah projek inovasi membekalkan air graviti bersih kepada penduduk luar bandar di Kampung Sapatalang di Pitas, Kudat dan Kampung Rungus Nahaba di Kiulu, Tuaran.

Katanya UMS juga terlibat dalam projek mewujudkan Pusat Pengkomposan Komuniti Kundasang untuk membantu petani di kawasan tanah tinggi menguruskan sisa sayuran melalui kaedah pengkomposan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar serta memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.

“Semoga UMS yang dikelompokkan dalam universiti komprehensif akan terus menyediakan akses pendidikan tinggi kepada rakyat Malaysia amnya, dan kepada anak-anak Negeri Sabah, khasnya…

“Ini kerana, hanya dengan pendidikan sahajalah mereka mampu meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mereka.

“Berkaitan dengan itu, saya gembira kerana lebih ramai pelajar yang telah memilih UMS sebagai tempat melanjutkan pengajian mereka,” kata Tun Juhar.

Menurutnya pada Semester Pertama, Sesi 2021/2022, seramai 5,592 pelajar baharu yang terdiri dari 4,394 orang pelajar pra-siswazah, 445 pelajar pasca-siswazah, dan 375 orang pelajar Program Asasi dan Diploma serta 378 orang pelajar program Mobiliti Prasiswazah telah mendaftar secara atas talian.