KOTA KINABALU, SABAH – Sabah dan Pulau Pinang sedang melihat kemungkinan untuk mewujudkan hubungan Bandaraya Persahabatan bagi mempromosikan industri pelancongan di kedua-dua negeri tersebut.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata inisiatif itu relevan dan bersesuaian memandangkan Sabah dan Pulau Pinang kini berusaha membina semula dan mengukuhkan sektor pelancongan masing-masing.
“Memandangkan kedua-dua negeri mempunyai lapangan terbang antarabangsa tersibuk, inisiatif ini merupakan pendekatan strategik untuk membantu membawa masuk lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa di samping meningkatkan pendapatan pelancongan,” katanya.
Pada Selasa, delegasi yang diketuai Joniston mengadakan pertemuan dengan EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE) Yeoh Soon Hin di Pulau Pinang.
Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan potensi mewujudkan Bandaraya Persahabatan antara Kota Kinabalu dan George Town, antara lain.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Tay Shu Lan, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang, dan pegawai penyelaras PETACE, Grace Teoh.
Sabah dan Pulau Pinang dihubungkan melalui laluan udara dengan Air Asia mengendalikan penerbangan dua kali sehari dan Malaysia Airlines mengendalikan penerbangan empat (4) kali seminggu.
“Kedua-dua negeri ini menawarkan produk destinasi pelancongan berbeza, dimana kita boleh saling membantu mempromosikannya di kalangan rakyat dan pelancong masing-masing…
“Walaupun kita mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Sabah, kita juga menggalakkan mereka untuk melawat ke negeri-negeri yang lain.
“Pelancong datang ke Sabah untuk melihat budaya unik dan menikmati pulau-pulau yang cantik, kekayaan hidupan marin, kehijauan alam semula jadi, dan hidupan liar terancam yang hanya terdapat di Borneo.
“Mereka boleh terbang ke Pulau Pinang dengan mudah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk melihat tempat-tempat menarik di sana seperti seni jalanan, bangunan warisan, serta merasai makanan tempatan.
“Pelancong kemudian boleh pergi ke negeri-negeri yang lain,” jelas Joniston.
Beliau berkata inisiatif Bandaraya Persahabatan itu juga mampu meningkatkan hubungan kedua-dua kerajaan, sambil menambah lawatan suai kenal media boleh dianjurkan untuk membantu mempromosikan Sabah dan Pulau Pinang.
“Saya berharap untuk bertemu dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan ini dengan lebih lanjut,” kata Joniston, yang juga pengerusi STB.





