Serangan Lebih Besar Dirancang Oleh Suspek Di Barcelona

Serangan Lebih Besar Dirancang Oleh Suspek Di Barcelona

0
SHARE

BARCELONA, SEPANYOL – Suspek serangan berkembar merancang untuk menyebabkan kemusnahan lebih besar daripada rempuhan kereta yang dilakukan.

Polis berkata, mereka mengesyaki 12 orang terbabit dalam serangan itu, lima terbunuh, empat ditangkap dan tiga orang yang dikenal pasti tetapi masih bebas.

“Mereka merancang untuk melakukan satu atau beberapa serangan di sini.

“Letupan di Alcanar terhenti kerana mereka kehabisan bekalan bahan untuk melancarkan serangan dalam skop yang lebih besar,” kata jurucakap Polis Catalonia, Josep Lluis Trapero.

Josep merujuk pada letupan di sebuah rumah di Alcanar, kira-kira 200 kilometer di selatan Barcelona, yang mengorbankan satu nyawa.

Pada awalnya polis beranggapan letupan di rumah itu hanya satu letupan rambang, namun kemudian mengaitkannya dengan serangan di Barcelona.

Polis yakin rumah terbabit digunakan sebagai tempat memproses bahan letupan. Sasaran sebenar serangan masih tidak dapat dipastikan.

Menurut jurugambar AFP, polis memindahkan berpuluh-puluh silinder gas dari rumah terbabit.

Josep berkata, sejurus selepas letupan itu suspek melancarkan serangan terhadap pejalan kaki di Barcelona dan Cambrils. Kedua-dua serangan itu menggunakan modus operandi yang sama.