JOHOR BAHRU – Polis menahan 52 remaja dan dua kanak-kanak lelaki dalam Op Basikal Lajak di Dataran Cahaya Kulai, dekat Kulai, hari ini.
Semua 52 remaja lelaki berkenaan membabitkan tiga murid sekolah rendah, 48 pelajar sekolah menengah dan seorang penuntut sebuah kolej manakala dua kanak-kanak itu berumur lima dan enam tahun.
Operasi terbabit bermula dari jam 5 petang hingga 8 malam. Polis mengeluarkan sebanyak 54 saman hasil pemeriksaan terhadap 72 jenis basikal.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata daripada 72 basikal yang diperiksa, 60 daripadanya adalah basikal lajak manakala 12 lagi lain-lain jenis.
Katanya, semua 60 basikal terbabit disita mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis sudah menghubungi ibu bapa semua remaja yang ditahan untuk mengambil anak masing-masing selain menghadiri sesi kaunseling,” katanya dalam satu kenyataan.