Sheila Majid Big Band Live In Kota Kinabalu Lunas Rindu Peminat Di...

Sheila Majid Big Band Live In Kota Kinabalu Lunas Rindu Peminat Di Sabah

0
SHARE
Sheila
Sheila Majid ( Sumber Foto: Ihsan Firm Horizon Sdn Bhd )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerinduan  para peminat setia Sheila Majid di Kota Kinabalu, Sabah terlunas dengan kejayaan hebat konsert Sheila Majid Big Band Live In Kota Kinabalu.

Konsert dengan durasi dua jam tersebut berlangsung dengan kemeriahan itu disaksikan sekitar 2500 para peminat yang membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) seawal enam petang.

Konsert yang mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, kata penganjur dibawakan ke Kota Kinabalu demi memberikan pengalaman berharga buat peminat Sheila di Sabah yang terlepas menyaksikan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu.

Konsert dengan konsep yang sama terdahulu pernah dilaksanakan di Kuala Lumpur dan kerana sambutan yang hangat dan memberangsangkan telah membuatkan Firm Horizons selaku penganjur terpanggil untuk membawakan konsert terbabit, ke sini.

Sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert tersebut turut disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah (KYJ) bertujuan menyokong usaha murni mereka membantu masyarakat yang memerlukan.

Menurut Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn Bhd, Raymond Fang berkata pihaknya berbesar hati melaksanakan konsert terbabit di sini setelah mengambil kira semua faktor.

“Penganjuran yang mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Ketua Menteri ini berjaya direalisasikan kerana kami memperoleh permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat yang terlepas menonton konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam konsert itu, Sheila mempersembahkan 20 buah lagu termasuk lagu seperti Pengemis Muda, Lagenda, Ku Mohon, Aku Cinta Padamu dan Sinaran.

“Saya benar-benar gembira melihat kehadiran semua, ‘full house’ dan menerima sokongan daripada rakyat Sabah, Kuala Lumpur, Brunei. Setiap individu berkumpul dan muzik menyatukan hati,” ujar Sheila.