LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bekerjasama dengan enam lagi negara bagi mengesan sirap ubat batuk tercemar yang berisiko membawa maut berikutan terdapat ancaman global berterusan daripada pasaran ubat berkenaan.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah menamakan sembilan negara yang mana sirap tercemar mungkin dijual selepas kematian lebih 300 bayi di tiga benua tahun lalu yang dikaitkan dengan ubat berkenaan.
Dalam laporan eksklusif Reuters, Rutendo Kuwana, ketua pasukan WHO yang menyiasat insiden ubat substandard dan dipalsukan itu, bagaimanapun enggan menamakan enam negara baharu itu memandangkan siasatan masih berjalan.
Beliau turut memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar masih boleh ditemui untuk beberapa tahun lagi kerana tong tercemar bahan penting mungkin kekal disimpan di dalam gudang.
Sirap ubat batuk dan ramuannya iaitu propylene glycol, kedua-duanya mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun.
“Ini adalah risiko yang berterusan,” kata Kuwana yang dipetik laporan Reuters.
Beberapa pakar pembuatan farmaseutikal memberitahu Reuters, mereka yang tidak bertanggungjawab kadang-kala menggantikan propilena glikol dengan alternatif toksik, etilena glikol dan dietilena glikol, kerana ia lebih murah.
Alternatif ini biasanya digunakan dalam cecair brek dan produk lain yang tidak bertujuan untuk kegunaan manusia.
Kuwana, berkata, menurut teori kerja WHO pada 2021, apabila harga propilena glikol meningkat, satu atau lebih pembekal mencampurkan cecair toksik yang lebih murah dengan bahan kimia yang sah.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di mana pembekal itu berpangkalan malah berkata, rantaian bekalan yang tidak jelas juga menyukarkan perkara ini.
Pengeluar farmaseutikal, termasuk mereka yang didakwa menghasilkan sirap tercemar yang dikesan setakat ini, biasanya mendapatkan bahan daripada pembekal luar.
Sementara itu, awal minggu ini, pengawal selia Nigeria mengeluarkan amaran mengenai sirap paracetamol tercemar yang dijual di Liberia, walaupun masih belum ada kematian dilaporkan di negara itu.
Pengawal selia Nigeria juga sedang menguji ubat yang tidak dijual di negara itu, kerana Liberia tidak mempunyai kemudahan ujian.
WHO mengeluarkan amaran keselamatan tahun lalu bagi produk buatan India yang ditemui di Gambia dan Uzbekistan manakala pada tahun ini, di Micronesia dan Kepulauan Marshall.
Amaran tahun lalu juga adalah untuk sirap buatan Indonesia yang hanya dijual di dalam negara.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, lebih 200 kanak-kanak berkemungkinan sudah diracuni.
Tiga pengeluar berpangkalan di Indonesia – PT Yarindo Farmatama, PT Universal Pharmaceutical Industries, PT AFI Farma juga sudah dibatalkan lesen mereka manakala pengeluar PT Konimex pula berkata, mereka menarik balik semua produk yang berkaitan dan laman webnya Januari lalu.
WHO menamakan empat negara lain yang bekerjasama dengannya iaitu Timor Leste, Kemboja, Senegal dan Filipina bagi mengesan sama ada mana-mana ubat sirap tercemar sampai ke pasaran negara itu.
Kuwana menjelaskan, tiada risiko semasa kepada penduduk di negara yang dinamakan WHO, sama ada akibat ubat tercemar dikeluarkan dari rak atau kerana ia tidak pernah sampai ke pasaran.
Sejak 2001, WHO mengesyorkan supaya tidak memberikan sirap ubat batuk kepada kanak-kanak berumur bawah lima tahun kerana terdapat bukti terhad tentang keberkesanannya atau kesan sampingan yang mungkin ada.
WHO juga menggesa semua negara untuk meningkatkan pengawasan dan menawarkan sokongan kepada negara yang tidak mempunyai sumber untuk menguji ubat mereka sendiri.