
KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama diantara kedua-dua parti.
Asas-asas dijelaskan dalam suatu kenyataan bersama Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki dan rakan sejawat STAR Datuk Edward Linggu, semalam.
“Bagi menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.
“Sebagai kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha di atas sebelum Pilihan Raya Negeri pada 2020.
“Untuk memperkukuhkan lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” jelas mereka.
Katanya, kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi ini dicapai dalam pertemuan diantara pemimpin kedua-dua parti pada Rabu lepas.
Kedua-dua parti telah memberi amanah kepada lima pemimpin untuk mewakili parti masing-masing dalam perbincangan itu.
PBS akan diwakili oleh Julita, Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanita Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda Christoper Mandut.
Manakala Parti STAR diwakili oleh Naib Presiden dan Pengarah Strategik Dr Paul Porodong, Edward, Ketua Penerangan Datuk Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Flovia Ng dan Ketua Pergerakan Pemuda Kong Soon Choi.
“Mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat,” tambah mereka.