SULTAN SULU SABAH MENGAKU BERSALAH MERUSUH PAPAGOMO

SULTAN SULU SABAH MENGAKU BERSALAH MERUSUH PAPAGOMO

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad yang pernah mengaku dirinya sebagai ‘Sultan Sulu’ serta dua anak lelakinya mengaku bersalah ke atas tuduhan merusuh penulis blog, Papagomo, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada tahun 2020.

Pertuduhan menyatakan Akjan dan dua anak lelakinya, Mahathir Datu Mohd Akjan dan Mohd Ghazali Hanif Datu Mohd Akjan, bersama dua lagi rakan subahat yang masih bebas, melakukan kesalahan itu pada 19 Jan 2020 yang lalu kira-kira jam 7.45 malam di hadapan Kaunter Udara Malindo.

Majistret Lovely Natasha Charles menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara selama 13 bulan di Mahkamah Majistret semalam.

Kesalahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Fakta menyatakan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ telah membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 20 Jan 2020.

Wan Muhammad Azri Wan Deris (dikenali sebagai Papagomo)…

Laporan pengadu menyatakan dia dibelasah sekumpulan lelaki ketika beratur untuk mendaftar masuk di Kaunter Udara Malindo untuk menaiki pesawat ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

“Siasatan mendedahkan Akjan menuntut Papagomo untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerana merobek poster Shafie semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 16 Jan tahun yang sama,” lapor sumber New Straits Times (NST).

Akjan dan dua orang “putera” itu ditahan pada 20 Jan 2020, susulan laporan polis. Mereka didakwa pada 16 Julai tahun yang sama dan kali ini, menuntut perbicaraan.

Ketiga-tiga mereka diwakili peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mengemukakan permohonan denda yang rendah (RM1,500) untuk dikenakan ke atas setiap tertuduh berikutan kekangan pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan kewangan keluarga diraja tersebut.

“Ketiga-tiga tertuduh turut memohon maaf kepada mahkamah ini dan juga kepada pengadu Wan Mohd Azri atau Papagomo atas kejadian tersebut yang telah melampaui batas…

“Semua tertuduh kesal dengan tindakan mereka dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu,” NST memetik Rafeeqa sebagai berkata.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan membayar denda yang dikenakan.