Syarikat China Teroka Peluang Pelaburan Dalam Industri Hiliran Minyak Kelapa Sawit Sabah

Syarikat China Teroka Peluang Pelaburan Dalam Industri Hiliran Minyak Kelapa Sawit Sabah

0
SHARE
Poic
Lawatan ke POIC Sandakan ( Sumber Foto: Ihsan KPK )

KOTA KINABALU, SABAH – Potensi besar industri hiliran minyak sawit Sabah baru-baru ini telah menarik tiga perusahaan China.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata syarikat-syarikat China ini sedang meneliti potensi pelaburan dan kerjasama dalam menubuhkan operasi di Sabah.

Chan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa sejak dua hari lalu, wakil dari Grand Oil and Food, Welle Environmental Group, dan Freepoints Commodities telah berada di Sabah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang keadaan semasa dan prospek masa depan sektor minyak sawit hiliran.

“Awal tahun ini, saya membuat beberapa lawatan ke China untuk mempromosikan peluang kerjasama antara Malaysia dan China dalam sektor perladangan dan komoditi.

“Adalah menggalakkan untuk melihat usaha ini membuahkan hasil, kerana ia telah berjaya menjana minat dan niat pelaburan yang ketara daripada syarikat China dalam Industri hiliran minyak sawit Sabah dan saya amat mengalu-alukan perkembangan ini.

“Sebagai tindak balas, kami telah bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi untuk mengatur lawatan mereka, memastikan mereka dapat menghargai sepenuhnya potensi yang ditawarkan Sabah, sekaligus meningkatkan keyakinan dan komitmen mereka untuk melabur di sini,” kata Chan.

Jelasnya, delegasi China berkenaan terdahulu melawat Sandakan, di mana mereka melawat Sawit POIC Sandakan Industrial Park, dipandu oleh Sawit Kinabalu Group, untuk meninjau kemudahan dan infrastruktur pelabuhan.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong turut hadir.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Frankie Poon, Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB), dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, atas kerjasama dan penyelarasan proaktif beliau melalui syarikat berkaitan kerajaan Sabah semasa lawatan ini.

“Ini telah mengukuhkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Sabah dan memupuk hubungan kerjasama yang erat,” tambah Chan.

Susulan lawatan mereka ke Sandakan, delegasi China itu ke Kota Kinabalu untuk menyertai perbincangan meja bulat yang diketuai oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi, melibatkan kedua-dua agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta delegasi China.

“Mesyuarat ini tertumpu terutamanya untuk meneroka peluang pelaburan di Sabah, dan memberikan pandangan tentang pelbagai insentif dan langkah sokongan yang tersedia untuk pelabur asing yang ingin menubuhkan operasi di sini,” kata Chan.

Di samping itu, delegasi China menyatakan minat yang mendalam terhadap industri hiliran minyak sawit Sabah, khususnya dalam pemprosesan nilai tambah Palm Kernel Cake (PKC), pengeluaran tenaga biojisim dan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) daripada Efluen Kilang Minyak Sawit (POME) dan minyak masak terpakai (UCO) pra-rawat.

Chan menekankan bahawa sebagai negeri pengeluar minyak sawit terkemuka Malaysia, sudah tiba masanya untuk Sabah meningkatkan pembangunan industri hilirannya.

Dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran produk minyak sawit bernilai tambah tinggi, Sabah boleh menjana manfaat ekonomi yang besar.