KOTA KINABALU, SABAH – Warga Kementerian Kerajaan Tempatan and Perumahan (KKTP) serta semua agensi di bawahnya termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diharap dapat terus meningkatkan perkongsian dan kerjasama sesama mereka untuk manfaat bersama dan juga rakyat.
Harapan tersebut disuarakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan peringkat Kementerian yang diadakan di Wisma Innoprise, di sini hari ini.
Katanyaz ambutan kali ini dijayakan bersama agensi-agensi di bawah Kementerian iaitu Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW), Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) serta daripada PBT iaitu Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Penampang, Majlis Daerah Tuaran, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Beaufort dan Majlis Daerah Lahad Datu.
“Adalah menjadi harapan saya, dengan adanya majlis seumpama ini, ianya dapat mewujudkan semangat muhibah dan harmoni di kalangan warga kerja kementerian dan juga semua agensi dibawahnya termasuk PBT.
“Penganjuran yang berkonsepkan gerai-gerai sebegini dapat merapatkan lagi hubungan sedia ada di antara kita.
“Dengan adanya gerai-gerai yang boleh dikunjungi yang menyediakan pelbagai juadah dan hidangan menjadikan majlis sambutan dwi perayaan ini bermakna dan meriah. Perkongsian dan kerjasama sebegini adalah sesuatu yang bermanfaat,” katanya.
Joachim berkata, sesuai dengan tema Pesta Kaamatan iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan”, sambutan perayaan sebegini adalah sesuatu yang unik.
Menurutnya lagi, ia memberi peluang kepada semua dari pelbagai etnik, bangsa dan agama serta pelbagai budaya dapat bersama-sama meraihkan dan berkongsi kemeriahan.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KKTP I dan II, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag. Supain; Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap I, Datuk Dr. Jamili Nais dan Stanley Chong serta Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping.





