BEAUFORT: “Ada anak saya dalam kotak ini. Tolong jaga anak saya, semoga rezeki dipermurahkan.”
Itu nota menyayat hati yang ditemui bersama seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam sebuah kotak di hadapan sebuah rumah di Kampung Brunei, Membakut, awal pagi kelmarin.
Kejadian mengejutkan itu disedari seorang penduduk yang menjumpai kotak berkenaan sekitar jam 6.10 pagi, mengandungi bayi yang dianggarkan berusia 36 minggu, dibalut dengan tuala dan ditemani beberapa biji limau kapas.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng, berkata saksi memaklumkan bahawa sebelum penemuan itu, dia ternampak sebuah motosikal berwarna putih berlegar di kawasan rumahnya sekitar jam 5.40 pagi, namun tidak mengesyaki apa-apa.
“Bayi itu segera dihantar ke Wad Kanak-Kanak Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut, dan sampel darah telah diambil untuk tujuan ujian paterniti,” katanya.
Polis kini sedang mengesan ibu kepada bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di talian 012-4175332 atau tampil ke balai polis berhampiran.