TUDUHAN ZAHID BERNIAT JAHAT – MUSTAPA

TUDUHAN ZAHID BERNIAT JAHAT – MUSTAPA

0
SHARE
Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa)...

SHAH ALAM, SELANGOR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini menafikan dakwaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau telah menyeleweng peruntukan RM30 juta yang disalurkan kepada UMNO Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Pa’ berkata, semua dana parti diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya dan diuruskan oleh jawatankuasa berkenaan di peringkat UMNO negeri.

Tok Pa berkata kenyataan dibuat Ahli Parlimen Bagan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini berniat jahat.

“Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai ahli jemaah menteri (anggota kabinet) dan ahli parlimen…

“Semua dana termasuk untuk kegunaan PRU yang diberikan UMNO ketika itu diuruskan mengikut garis panduan parti melalui jawatankuasa yang berkenaan,” jelas Ahli Parlimen Jeli itu.

Zahid memberitahu mahkamah bahawa sebahagian wang itu sepatutnya digunakan untuk urusan logistik dan bawa pengundi yang bekerja atau bermastautin di Lembah Klang untuk kembali mengundi di Kelantan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi…

“Saya diberitahu bahawa RM30 juta wang itu tidak dibelanjakan untuk logistik tetapi saya ada maklumat bahawa ia diberi kepada isterinya untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadi,” dakwanya.

Mustapa walau bagaimanapun berkata, selepas PRU ke-14, dia telahpun dipanggil untuk memberi keterangan dua kali masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu pada akhir 2018 dan awal 2019.

“Ia termasuk siasatan sebagai bekas pengerusi UMNO Kelantan berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun UMNO negeri itu yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB…

“Kenyataan beliau pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

“Pihak SPRM menafikan perkara ini pada 20 Sept 2018 manakala setiausaha UMNO Kelantan pada masa itu memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU ke-14 pada 16 Jan 2019,” katanya.

Jelas Mustapa dia juga tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Bersatu dan tidak pernah menyeleweng dana UMNO Kelantan.

“Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” katanya lagi.