KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir bersama 13 lagi ahli yang sebelum ini keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), semalam.
Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG, Armin Baniaz Pahamin membuat pengesahan berhubung perkara terbabit menerusi pautan status yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook
Armin menerusi pautan itu berkata Dr Mahathir mendaftar keahliannya bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama PUTRA.
“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu.
“Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami. Hanya melalui penyatuan orang-orang melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir memberi bayangan untuk menyertai PUTRA selain berhasrat menjadi penasihat parti itu.





