
KUALA PENYU, SABAH – UMNO merupakan sebuah parti inklusif yang sentiasa membuka pintu kepada semua bekas pemimpin serta individu yang ingin menyertai perjuangan parti itu.
Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Datuk Awang Lakat berkata, dari awal lagi UMNO Sabah mengambil pendirian untuk menerima sesiapa sahaja individu yang berminat.
“Kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai perjuangan parti kita, bagaimana pun ianya perlu melalui proses seperti biasa iaitu mengisi borang keahlian parti dan dikemukakan kepada cawangan, bahagian dan ibu pejabat parti untuk kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menerima 35 orang penduduk Kampung Tenambak di sini yang diketuai oleh Baki Saban dalam menyerahkan borang kemasukan ahli UMNO pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Hajah Siri Aminah Haji Aching; Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Taib; Naib Ketua Umno bahagian, Awang Damit Jion dan Ketua Daerah Mengundi Tenambak, Kimloo Jungin.
Menurut Awang yang juga Ketua UMNO bahagian Beaufort, walaupun UMNO Sabah sudah pulih, namun pernyataan semua pemimpin dan ahli akan menjadi jaminan parti akan bertambah kuat dan tidak menolak kemungkinan akan menerima kemasukan lebih ramai lagi pemimpin dari pembangkang atau ahli parti lain menyertai UMNO.
Awang berkata, sebelum ini, walaupun ramai yang menganggap UMNO sudah tidak relevan tetapi parti ini tetap menjadi rebutan ramai.
“Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apa pun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi…
“Dalam politik, perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli UMNO yang ingin kembali bersama parti,” katanya.
Sementara itu, Baki yang mengetuai kumpulan tersebut berkata keputusan beliau bersama-sama rakan yang lain untuk menyertai UMNO dibuat kerana yakin kepada kesungguhan UMNO untuk membela rakyat.
“Sejak beberapa tahun lepas, kita melihat UMNO konsisten dalam membantu rakyat tanpa mengira parti ini di pembangkang atau pun kerajaan…
“Usaha membantu bukan sahaja ahli tapi rakyat keseluruhanya dilaksanakan seperti biasa,” jelas Baki.

Sebaik majlis tersebut selasai Awang bersama rombongan meneruskan program ziarah ke beberapa buah penduduk yang ditimpa musibah dan sakit di kampung Tenembak, Rumah Murah Kampung Kenangka dan turut menyampaikan bantuan bakul makanan di Pusat Daerah Mengundi Palu-Palu.
