Universiti Terkemuka Di California Bayar Lebih RM4.1 Bilion Kepada Ratusan Wanita

Universiti Terkemuka Di California Bayar Lebih RM4.1 Bilion Kepada Ratusan Wanita

0
SHARE

LOS ANGELES – Sebuah universiti terkemuka di California bersetuju membayar lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion) kepada ratusan wanita yang menuduh seorang bekas pakar sakit puan kampus itu melakukan penderaan seksual.

University of Southern California (USC) bersetuju membayar AS$852 juta (RM3.5 bilion) yang didedahkan di mahkamah Los Angeles dan AS$215 juta (RM891 juta) susulan saman difailkan pada 2018.

Menurut peguam, Gloria Allred yang dipetik AFP, beliau berkata bahawa perkara itu adalah jumlah penyelesaian tertinggi bagi kes penderaan seksual dan gangguan seksual terhadap universiti dalam sejarah tindakan undang-undang sivil.

George Tyndall dituduh melakukan penganiayaan oleh ratusan pesakit wanita semasa pemeriksaan perubatan selama 30 tahun kerjayanya, dalam skandal yang mencemar imej USC.

Tuduhan terhadap Tyndall bermula dari sentuhan tidak wajar hingga rogol, bermula pada 1990 dengan plaintif termuda berusia 17 tahun.

Doktor yang kini berusia 74 tahun itu dituduh mengambil gambar alat kelamin pesakit, meraba payudara dan membuat pernyataan mencabul mengenai fizikal serta komen perkauman atau prejudis terhadap golongan gay.

Dia didakwa menyasarkan pelajar minoriti termasuk ramai dalam kalangan pelajar berketurunan Asia di universiti itu.

Ribuan bekas pesakit menyaman universiti itu kerana gagal memberi tindak balas sewajarnya terhadap Tyndall, dengan mendakwa institusi itu menyedari tindakan doktor itu tetapi terus membenarkannya mengakses pelajar.

Tyndall tidak disiasat oleh pegawai USC sehingga 2016 dan dibenarkan untuk bersara di bawah perjanjian penyelesaian dengan universiti membabitkan pembayaran AS$200,000 (RM829,300).

“Jururawat yang kadang-kadang hadir ketika dia melakukan peperiksaan hanya ‘tutup mata’ ketika semua ini berlaku,” kata seorang plaintif yang tidak boleh dinamakan.