
LAHAD DATU, SABAH – Pendidikan dan perancangan pendidikan anak-anak adalah kunci kepada peningkatan taraf hidup keluarga kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat Mizma Appehdullah.
Beliau berkata melalui perancangan yang baik dengan meletakkan keutamaan kepada kepentingan sektor pendidikan dalam keluarga ia secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Pendidikan merupakan instrumen yang amat penting dalam memacu hala tuju kehidupan anak-anak kita kerana ia akan dapat membuka peluang yang cerah bagi mendapatkan pekerjaan seterusnya menjamin kehidupan yang baik…
“Saya juga sempat berpesan kepada para ibu bapa agar bijak menyusun atur dan merancang masa depan anak-anak.
“Perancangan yang baik terhadap setiap kegiatan anak masing-masing akan dapat mendorong mereka untuk mencapai setiap cita-cita yang diimpikan. Insya Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas beramah mesra bakal pelajar yang mendapat tawaran ke peringkat IPTA di pejabat beliau kelmarin.
Jelasnya ada ibu bapa yang tertekan apabila anak-anak mereka menerima tawaran ke IPTA kerana ada diantara mereka ini yang kurang bernasib baik dari segi kewangan namun tekad dan fokus mereka dalam mengejar ilmu pendidikan tidak pernah padam.
“Inilah semangat dan kesedaran yang kita mahu tumbuh dalam kalangan masyarakat kita. Setiap dari kita punya peranan dalam mewujudkan saling keprihatinan dan cakna keperluan masyarakat lainnya…
“Tidak cuma tanggungjawab dalam hal pendidikan anak-anak ini terpikul dibahu ibu bapa dan guru guru sahaja. Ruang lingkup masyarakat yang besar pasti akan amat mendukung bagi membantu anak anak yang kurang berkemampuan dalam mengejar ilmu pendidikan selayaknya,” katanya lagi.
Beliau berharap usaha kecil ini dapat membantu para pelajar ini dalam menuntut ilmu, mencapai kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya mampu berbakti kepada kedua ibu bapa mereka serta negara ini satu masa nanti.