KOTA KINABALU, SABAH – Penyertaan kali pertama Velvet Aduk sebagai finalis membawa tuah apabila lagu ciptaannya, ‘Mungkin ini Bukan Sayang’ dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS-15) musim ke-15 berlangsung di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, malam tadi.
Kemenangan lagu itu melayakkan Velvet membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 berserta sijil dengan hadiah iringan lain.
Beliau juga diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik CLAS 15 sambil menerima wang tunai RM3,000, trofi dan hadiah iringan.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik yang menawarkan ganjaran wang tunai RM3,000 dan trofi menjadi milik Santiana Ramli, melalui lagu Sumpah Setia.
Menanti Akhirnya Malam dendangan Cearah diumumkan sebagai pemenang lagu Lirik Terbaik juga menerima wang tunai RM3,000, trofi, piala serta sijil disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.
Manakala sembilan peserta lain masing-masing menerima saguhati wang tunai RM1,000 setiap seorang beserta sijil, trofi serta hadiah iringan yang lain.
Acara anugerah berprestij terbitan Seksyen Hiburan dan Muzik RTM Sabah menampilkan DJ Pyan dan DJ Moon sebagai hos disamping Dayang Noraini dan Joy Bintang RTM 2024 sebagai artis jemputan.
CLAS 15 membuka tirai dengan berkonsepkan ‘Majestic Batik’ menampilkan gabungan ‘Orkestra Angkasapuri serta Kombo RTM Sabah’ mengiringi 10 lagu sekali gus dirakam sepenuhnya sekali gus disiarkan melalui saluran TV2, pada 6 Julai ini jam 9.00 malam.
CLAS 15 bertujuan memartabatkan industri muzik dengan memberi pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik tempatan Sabah untuk bersaing di peringkat nasional.
Syarikat Jetama Sdn Bhd serta Sabah Oil Gas & Development Sdn Bhd antara penyumbang CLAS 15 kali ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Salmah Hashim, Timbalannya, Cyril Simon, Penolong Pengarah Seksyen Hiburan dan Muzik, Howard Martin Kim Sung serta Penerbit CLAS 15 Dayang Marni Awang Matusin.