PUTATAN: Seorang wanita berusia 41 tahun dilaporkan maut selepas dirempuh kereta api bersama anaknya ketika melintas dalam kejadian di landasan kereta api di hadapan Kampung, Petagas sebentar tadi.
Manakala, anak lelakinya yang berusia 11 tahun dilaporkan putus kaki serta cedera di tangan dan kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 1.58 petang.
“Lapor kejadian melibatkan dua orang mangsa, iaitu seorang wanita dewasa berumur 41 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki
11 tahun telah dirempuh ketika sedang melintas di landasan kereta api yang sedang menuju dari Putatan ke Kota Kinabalu.
“Wanita tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak lelaki mengalami cedera parah (putus kaki, cedera tangan dan kepala).
“Turut dilaporkan mangsa terheret lebih kurang 20 meter oleh kereta api tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mangsa maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala anak lelakinya telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) oleh pegawai KKM bagi menerima rawatan selanjutnya.
Pasukan Bomba melakukan pembersihan di lokasi kejadian dan membantu mengangkat jenazah mangsa untuk diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 2:47.