Warga Tawau Teruja Saksikan Dron Serah Jalur Gemilang

Warga Tawau Teruja Saksikan Dron Serah Jalur Gemilang

0
SHARE
Kmjg
Mohammad Azry (kanan) menerima Jalur Gemilang daripada Lo sambil disaksikan Hamid (dua dari kiri) dan Jainisah (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAWAU, SABAH – Kira-kira 1,000 orang warga Tawau yang membanjiri Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) teruja menyaksikan gimik penyerahan Jalur Gemilang menggunakan dron.

Ia merupakan inisiatif Kelab Dron Tawau dalam menghangatkan lagi Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024.

Setibanya Konvoi KMJG di persinggahan ke-31 itu, Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui kemudiannya menyerahkan Jalur Gemilang tersebut kepada Ketua Pembawa Bendera, Sarjan Mohammad Azry Izzuddin Abu Bakar dari Rajimen ke Tujuh Askar Melayu Diraja (7RAMD).

Seterusnya, Sarjan Mohammad Azry mengetuai perarakan masuk Jalur Gemilang di perkarangan MPT untuk dinaikkan pada upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang yang melibatkan gabungan tujuh agensi beruniform di Tawau.

Agensi yang terlibat adalah Angkatan Tentera Darat (ATM), Tentera Laut DiRaja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Penguasa MPT.

Manakala, penaik bendera pula ialah Laskar Kanan TLDM, Syed Abdul Fatah Syed Nasir dan Laskar Kelas 1 TLDM, Muhammad Hanif Danial Kamaruddin.

Ia disusuli dengan persembahan deklamasi puisi bertajuk ‘Deklarasi Kemerdekaan’ oleh Sarjan Mejar Julpin Jalaluddin (PDRM) bagi membakar semangat patriotisme dalam kalangan warga Tawau.

Selain ucapan aluan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Sabah merangkap ketua konvoi, Jainisah Mohd Noor, Lo turut menandatangani Buku Lawatan KMJG serta membuat pelepasan 14 kenderaan yang meneruskan perjalanan ke Bukit Batu Payung.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah ADUN Balung Datuk Hamid Awang, Presiden MPT Joseph Pang, Timbalan Ketua Polis Tawau Champin Piuh dan Penolong Pegawai Pemerintah 7RAMD Mejar Dhia’uddi Md Azizin. — JABATAN PENERANGAN SABAH