WARISAN Digesa ‘Move On’, Berhenti Jadi ‘Nujum Pak Belalang’ – Nizam

WARISAN Digesa ‘Move On’, Berhenti Jadi ‘Nujum Pak Belalang’ – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Azis Jamman tidak wajar membuat dakwaan karut dan jahat jika pun mahu menjadi “Nujum Pak Belalang”.

Demikian kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkenaan dakwaan Azis bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah parti pertama untuk meninggalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahum jika berlakunya pergolakan politik.

“Hakikatnya, Parti WARISAN termasuk Azis, yang mempunyai niat tidak mahu menyokong mana-mana parti atau pemimpin nasional, atas sebab itu, mereka memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) dan telah bergerak solo pada PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan media.

Disamping itu, beliau berkata keputusan WARISAN untuk menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan adalah kerana mereka tiada pilihan lain.

“Atas sebab hanya mempunyai tiga ahli parlimen, menyokong dan tidak menyokong pun tidak memberi kesan, pada kerajaan Perpaduan antara PH, Barisan Nasional (BN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.

“Azis dan parti beliau cuba menutup kesalahan sendiri, dengan menuding kepada parti lain. Semasa WARISAN memimpin gabungan kerajaan lepas, saya yakin parti-parti komponen PH di Sabah mengetahui sikap dan keikhlasan Warisan dalam kerjasama dan permuafakatan.

“Semua pihak yang menyokong kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri telah ‘lama move-on’ ” katanya.

Dalam pada itu, Nizam turut berkata tidak timbul sama sekali tindakan khianat, seperti mana yang telah dilakukan oleh beberapa pemimpin negeri pada 6 Januari lalu yang didalangi oleh pemimpin WARISAN untuk merampas kerajaan secara kerajaan pintu belakang dan ‘tebuk atap’.

“Jangan lah kerana pemimpin dan parti sendiri mempunyai niat jahat, maka mengandaikan pemimpin dan parti lain juga sama,” katanya.