GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 peratus (10%) penduduk dunia sudah dijangkiti COVID-19, jauh lebih tinggi berbanding statistik rasmi.
Badan dunia di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga mahu menyegerakan rombakan dalaman institusi supaya lebih bersedia menangani cabaran akibat virus itu.
Sehingga kini, lebih daripada 35.5 juta kes COVID-19 direkodkan di seluruh dunia, termasuk sekitar 1.04 juta kematian.
Namun, WHO kini menganggarkan sekitar 10 peratus daripada 7.8 bilion penduduk dunia sudah dijangkiti iaitu lebih 20 kali ganda jumlah rasmi sejak virus itu pertama kali muncul di China akhir tahun lalu.
Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan yang dipetik AFP berkata anggaran terbaik menunjukkan ketika ini kira-kira 10 peratus penduduk dunia mungkin dijangkiti virus itu.
“Tahap jangkitan berbeza antara bandar dan luar bandar, berbeza antara kumpulan yang berlainan.
“Tetapi pada hakikatnya, ini bermaksud sebahagian besar dunia tetap berisiko,” katanya pada mesyuarat khas lembaga eksekutif agensi itu semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam mesyuarat sama memaklumkan bahawa ancaman wabak itu harus dijadikan iktibar untuk kebangkitan semula.
“Kita semua mesti mencermin diri dan bertanya apa yang boleh kita lakukan dengan lebih baik lagi,” katanya.
Tedros menolak kritikan terhadap usaha agensi itu menangani wabak terbabit dengan menegaskan sejak awal lagi ia sudah bekerja sepanjang waktu memastikan semua negara bersiapsiaga menghadapi virus baru itu.
Beliau juga mempertahankan proses reformasi dalaman pertubuhan itu sejak tiga tahun terakhir, namun mengakui kini ia harus dipercepatkan.
“Kami tidak berada di jalan yang salah. Kami berada di jalan yang benar, tetapi kami harus bergerak lebih cepat lagi,” katanya.
Lembaga eksekutif WHO yang merangkumi perwakilan dari 34 negara yang dipilih untuk tempoh tiga tahun, bermesyuarat selama dua hari minggu ini.
Ia bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan penilaian scara saksama, bebas dan komprehensif mengenai maklum balas WHO terhadap pandemik, seperti yang diminta negara anggota.