GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meminta China memberi butiran mengenai peningkatan penyakit pernafasan yang telah dilaporkan di bahagian utara negara itu, terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Pakar epidemiologi telah memberi amaran bahawa ketika China memasuki musim sejuk pertama sejak penarikan sekatan COVID-19, tahap imuniti semula jadi terhadap virus pernafasan mungkin lebih rendah daripada biasa yang membawa kepada peningkatan jangkitan.
Beberapa negara, termasuk AS dan UK, mengalami gelombang besar jangkitan virus pernafasan pada musim sejuk pertama selepas sekatan COVID ditarik balik.
Ia kerana orang ramai mempunyai tahap imuniti semula jadi yang lebih rendah. Bagi kanak-kanak kecil, sekatan pandemik melambatkan usia mereka mula-mula terdedah kepada penyakit biasa.
Pada 13 November, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengadakan sidang akhbar mengenai peningkatan kes tersebut.
Mereka berkata bahawa kes-kes ini dikaitkan dengan patogen seperti influenza dan mycoplasma pneumoniae, jangkitan bakteria biasa yang biasanya memberi kesan kepada kanak-kanak yang lebih muda.
Menurut laporan Business Insider, Hospital General Aviation Beijing berkata pada hari Jumaat lalu bahawa unit pediatriknya sedang bergelut dengan 550 hingga 650 lawatan pesakit setiap hari.
Pengarah Hospital Kanak-Kanak Tianjian, Liu Wei melalui surat terbuka di WeChat pada Sabtu berkata kakitangan hospital mereka mula terbeban.
Disamping memohon ibubapa bertenang, Lou berkata lebih 13,171 pesakit telah dimasukkan ke dua kampus hospital dalam tempoh 24 jam yang lalu.